
BILA KITA mendengar berita kematian Michael Jackson atau Mikael Jackson(nama Islamnya) pada pagi Jumaat lalu(Khamis di Amerika), ramai yang terkejut. Malah ramai yang tidak dapat terima berita kematiannya sehinggalah membaca atau melihat mengenainya dalam internet ataupun televisyen. Sesungguhnya Raja Pop "Thriller" yang terbilang itu telah mengadap Illahi pada usia 50 tahun kediaman sewaannya pada Khamis, 25 Jun 2009, di Los Angeles.
Di negara kelahirannya Amerika Syarikat, kebanyakan rakyatnya sama hitam atau putih(seperti nama lagunya Black or White) menjadi tak keruan. Penyanyi yang paling misteri dalam sejarah musik pop Amerika yang diberi gelaran Jacko the Wacko itu telah meninggalkan kita buat selama-lamanya. Amerika bagaikan dilanda tsunami musik MJ kerana kebanyakan stesen radio di negara itu tidak henti-henti memutarkan lagu-lagu beliau, sementara stesen televisyen pula menayangkan video-video klip MJ yang beitu popular dengan lagu-lagu seperti Thriller, Beat It, Billie Jean, Bad, We Are The World dan puluhan lagi lagu yang menghiburkan.
Aku yang hidup dan membesar dengan dendangan lagu-lagu MJ sejak zaman awalnya bersama The Jackson 5 seperti I'll Be There, My Girl, Never Can Say Goodbye, ABC, Rockin' Robin, Got To Be There dan bermacam-macam lagi lagu lain di awal 70an turut merasa pemergiannya. Malah bila aku dengar semula lagu-lagu itu ternyata ia masih segar dan tak menjemukan. Itulah yang dikatakan lagu evergreeen agaknya. The Jackson 5 yang diwakili oleh empat orang lagi adik-beradik MJ sentiasa berentap dengan satu lagi kumpulan adik-beradik The Osmond Brothers yang diterajui oleh Donny Osmond. Kumpulan ini juga tidak kurang popularnya tapi kurang menyerlah. MJ menjadi lebih popular dan dinobatkan sebagai ikon dunia apabila beliau buat keputusan untuk bergerak sendirian dan menjadi penyanyi solo pada awal 1980an.
Dengan kematian MJ, seorang insan yang diselubungi 1001 misteri, dunia telah kehilangan ikon musik yang tiada tolok bandingnya. Malah bagi aku, impak yang ditinggalkan MJ lebih besar daripada Elvis Presley(bapa bekas isterinya, Liza Marie Presley), mahupun John Lennon, anggota utama kumpulan The Beatles. Kini semua perancangan beliau untuk membuat 50 konsert comeback di London mulai Julai depan hanya menjadi kenangan yang tidak akan terlaksana. Aku percaya selepas ini akan bermulalah perebutan harta dan tiga orang anak yang telah ditinggalkan oleh MJ di kalangan keluarga, bekas isteri, anak-anak, pihak yang beliau berhutang, bank-bank, syarikat-syarikat miliknya dan berbagai-bagai lagi pihak yang akan keluar untuk menuntut hak masing-masing. Kepada sesetengah pihak pula, kematian MJ telah membawa rezeki 'durian runtuh' yang tidak diduga. Golongan ini ialah mereka yang terlalu gilakan MJ semasa hayatnya dan sanggup membelanjakan wang dan tenaga untuk menjadi MJ 'tiruan' atau impersonator. Mereka menari ikut gaya dan langkah MJ seiring dengan lagu-lagu beliau yang popular. Di negara kita juga terdapat beberapa orang MJ impersonators yang akan diundang untuk membuat persembahan di majlis-majlis makan malam ataupun private party.
Walau apa pun yang berlaku selepas kematian MJ, bagi aku yang pasti lagu-lagunya akan terus berkumandang dan menghiburkan warga dunia sehingga bila-bila. Bermula sebagai seorang penyanyi cilik yang berasal dari Gary, Indiana, MJ akhirnya menjadi satu nama terpahat sebagai seorang penghibur yang paling besar dan terhebat pernah wujud di dunia ini ....Selamat Tinggal MJ!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan