Selasa, 16 Jun 2009

EKONOMI RAKYAT GAWAT?????


BILA KITA lihat suasana ekonomi dunia hari ini, tidak dapat tidak kita kena juga renung ekonomi negara sendiri. Apa yang berlaku di negara-negara besar terutamanya Amerika Syarikat pasti terkesan juga oleh Malaysia. Bak kata orang, jika Amerika Syarikat bersin, Malaysia akan dapat selesema! Macam juga selesema babi, Amerika dapat dulu dan kini ramai juga rakyat negara ini dah mula mengidap penyakit yang merbahaya ini.

Aku berjumpa dengan ramai kawan-kawan yang terlibat dalam bidang perniagaan dan bertanyakan tentang perkembangan perniagaan mereka sejak kebelakangan ini. Hampir kesemuanya memberi jawapan yang standard iaitu slow atau lembab. Business menurun, susah nak dapat job, payment tak masuk, competition sengit, profit margin kecil, dan pelbagai jawapan yang mencerminkan keadaan sebenarnya keadaan ekonomi negara ketika ini. Daripada jawapan mereka, aku dapat rumuskan ekonomi negara ketika ini tengah lembab. Prestasi banyak syarikat sepanjang tahun lalu sehingga enam bulan pertama tahun ini boleh dikatakan tidak memberangsangkan kecuali bank-bank dan Petronas yang masih bertenaga dan mampu meningkatkan keuntungan secara keseluruhannya.

Walaupun ekonomi negara tak menggalakkan, namun aku lihat rakyat jelata masih mampu berbelanja seolah-olah tiada kelembapan yang berlaku. Kalau tak percaya, lihat saja sambutan rakyat setiap kali MATTA mengadakan promosi jualannya atau pergi saja ke trade exhibitions yang banyak dianjurkan di ibu negara. Ribuan pengunjung yang membanjirinya dan berbelanja untuk membeli barang-barang yang dijual.Kalau di pameran anjuran MATTA, berjuta-juta ringgit produk pelancongan yang dijual agen-agen pelancongan. Malah setiap kali cuti sekolah ataupun hujung minggu sukar juga nak dapatkan tempat penginapan sama ada hotel, homestay, rumah tumpangan atau mana-mana resort jika tempahan awal tidak dibuat terlebih dulu.


Persoalannya ialah adakah kelembapan ekonomi yang dialami negara tak kena kepada rakyat kita. Jawapannya adalah subjektif. Pada penelitian aku, golongan yang berpendapatan tetap atau makan gaji mungkin tidak berapa terjejas kerana mereka masih dapat wang yang sama untuk berbelanja setiap bulan. Mungkin jumlah bonus dan insentif yang diberikan majikan berkurangan tetapi benefits lain tetap sama. Kepada golongan berkenaan, inilah masanya untuk berjimat cermat dan ikat perut sedikit kerana banyak juga syarikat sekarang ini tidak teragak-agak memberhentikan pekerja jika keadaan ekonomi bertambah teruk.

Kepada yang berniaga sendiri pula terutamanya peniaga kecil atau sederhana, bahang kemorosotan ekonomi memang dirasakan sekarang ini. Banyak job dah siap dan deliver, tapi payment tak masuk. Akibatnya mereka terpaksa menanggung kerugian kerana pembekal tetap mahukan bayaran mereka. Jika tak bayar mungkin peniaga tak akan dapat menempah bekalan lagi di masa depan. Dulu pembekal sanggup bagi kredit sampai tiga atau empat bulan untuk bayar. Tapi sekarang mereka lebih suka dibayar tunai, setidak-tidaknya bayar tunai setengah dan bakinya sebelum bekalan dihantar. Aku ada beberapa orang kawan yang sedang kepansan kerana tidak mampu bayar pembekal kerana pelanggan mereka belum lagi buat pembayaran walaupun dah melebihi enam bulan. Bila duit nak rolling tak masuk, bagaimana nak bayar pembekal? Bagaimana nak tempah bekalan baru kalau yang lama belum langsai lagi. Nak cari pembekal baru ketika ini bukan mudah terutamanya jika goodwill dan rapport belum terjalin!

Aku harap Malaysia akan keluar dari kemelut ekonomi ini secepat mungkin. Jika baca laporan ekonomi Bank Negara dan ucapan pemimpin-pemimpin negara, kita masih ada harapan untuk pulih dengan cepat. Malah keadaan kita lebih baik daripada banyak lagi negara lain. Aku harap peruntukan untuk economic stimulus package yang diumumkan oleh PM tak berapa lama dulu segera dilaksanakan bagi membolehkan ekonomi negara lancar semula. Amerika Syarikat telah mula mengambil langkah-langkah menyelamatkan syarikat-syarikat gergasi yang sedang tenat serta memperkenalkan pelbagai insentif ekonomi untuk rakyatnya. Negara tersebut yang ekonominya merudum teruk dalam Great Depression pada tahun 1930an dulu sedang bekerja keras untuk elakkan satu lagi mala petaka ekonomi di abad yang serba moden ini. Dunia sedang memerhati sama ada Presiden Obama mampu membawa sentuhan midasnya kepada ekonomi negara yang terhebat itu! Aku tak dapat bayangkan apa akan berlaku kepada Malaysia jika ekonomi Amerika Syarikat yang gagah itu merudum seperti Great Depression dulu. Terlalu ngeri untuk dibayangkan. ..................

Tiada ulasan:

Catat Ulasan