Rabu, 19 Ogos 2009

SELESEMA BABI MENYERANG DUNIA......

DUNIA sedang dibelenggu ketakutan akibat serangan penyakit viral baru yang dikenali sebagai selesema babi atau H1N1. Sebelum Malaysia mengimport penyakit ini melalui seorang pelajar yang menuntut di luar negeri, kita hanya membacanya melalui akhbar dan internet tentang H1N1. Gambar-gambar melalui siaran berita dari luar negara yang dilanda seawal April lalu seperti di Mexico dan Amerika Syarikat tidak sedikit pun menggerunkan kita pada waktu itu kerana ia berlaku di negara jauh di seberang lautan Pasifik. Dalam fikiran kita, sesuatu yang berlaku beribu-ribu batu jauhnya dari kita akan lambat diterima kita. Malah jika ia menjeguk ke negara kita pun, penyakit viral  ini sudah sedia dikawal dengan rapi dan tidak akan membawa padah kepada rakyat negara ini.

Malangnya telahan ramai rakyat negara ini meleset sekali. Penyakit yang membawa virus H1N1 ini sebenarnya bukan kepalang garangnya. Cara ia menerjah masuk ke Malaysia tidak siapa menduga. Kes pertama penyakit ini dilaporkan pada awal Mei dan kematian pertama akibatnya dilaporlan pada Julai 2009.  Sejak kematian  pertama pada 23 Julai lalu, angka kematian di Malaysia telah meningkat kepada 67 kematian pada 17 Ogos di seluruh negara akibat H1N1. Angka kematian dijangka meningkat sekiranya langkah-langkah drastik tidak diambil oleh kerajaan. Namun langkah pencegahan yang lebih serius hendaklah diambil oleh setiap individu untuk mencegah H1N1 daripada merebak.

Cara yang terbaik untuk mencegah penyakit ini merebak ialah dengan mengenali tanda-tanda awal yang dibawa oleh pesakit.  Seseorang yang mengidap penyakit viral H1N1 pada kebiasaannya akan mengalami demam panas(suhu badan melebihi 38 darjah sentigred) dan juga batuk secara tiba-tiba.  Kadang-kadang pesakit juga mengalami sakit kepala, keletihan, kesejukan, kekejangan urat, kaki atau sendi-sendi. Malah pesakit juga boleh mengidap cirit-birit(diarrhorea) atau sakit perut, sakit tekak, hidung berair, selalu bersin dan hilang selera makan. Sekiranya kita mempunyai tanda-tanda yang disebutkan segeralah ke klinik untuk memastikan keadaan kesihatan kita.  Jangan sekali-kali mengambil ringan perkara ini dan hanya berdiam di rumah memikirkan kita hanya mengidap demam biasa. Kebanyakan kes kematian berpunca daripada kelewatan pesakit mendapat rawatan segera daripada pihak hospital.

Mereka yang termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi mengidap penyakit ini ialah yang mempunyai penyakit kronik seperti jantung, buah pinggang, limpa, urat-saraf dan kencing manis. Kumpulan lain yang berisiko tinggi ialah pesakit yang mengambil ubat lelah(dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini), perempuan mengandung, mereka yang berumur 65 tahun ke atas dan anak-anak berumur  lima tahun ke bawah. 

Memandangkan H1N1 adalah penyakit yang berjangkit, langkah-langkah pengawalan yang rapi hendaklah diambil oleh setiap individu pada setiap waktu seperti :-
- menutup mulut dengan sapu tangan atau kertas tisu apabil bersin
- mengguna topeng mulut
- elak daripada menyetuh mata, hidung atau mulut kerana kuman merebak cara sebegini
- elak daripada mengunjungi tempat-tempat public  seperti kompleks membeli-belah atau hadiri majlis terbuka orang ramai

Mengikut laporan yang dikeluarkan pihak kerajaan, vaksin untuk melawan penyakit ini hanya akan berada di Malaysia se awal-awalnya pada Disember 2009. Negara-negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat akan mengeluarkan vaksin untuk rakyat mereka pada bulan September depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan