Jumaat, 14 Ogos 2009

PERGI TAK KEMBALI......

DUNIA hiburan tanah air sekali dilewati satu lagi berita menyedihkan semalam, 13 Ogos 2009 apabila penyanyi utama kumpulan nasyid terkenal Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40 tahun telah menghembuskan nafas terakhir pada 10.30 pagi(bersamaan 22 Syaaban) akibat serangan jantung.

Allahyarham sebelum itu sedang menghadiri latihan nyanyian bersama anggota Rabbani yang lain di RTM Angkasapuri untuk program Syahadah musim baru. Ketika sedang berlatih, beliau telah diserang sakit jantung dan telah dikejarkan ke Hospital Pantai di Bangsar. Bagaimanapun beliau telah disahkan meninggal dunia sebaik saja pemeriksaan ke atasnya dijalankan.

Aku tak nak bercerita tentang sumbangan Allahyarham Ustaz Asri terhadap dunia hiburan, khususnya kepada nasyid kerana kita semua sudah mengetahui tentangnya. Beliau dan kumpulan Rabbani banyak meninggalkan khazanah seni muzik nasyid yang amat berharga kepada rakyat negara ini. Cara Ustaz Asri dan Rabbani menyebarkan usaha dakwah mereka menerusi seni muzik telah memberi dimensi baru terhadap genre nasyid. Keberanian kumpulan ini membawa perubahan dalam persembahan nasyid juga serta suara Ustaz Asri yang lantang, merdu dan mengesankan membuat genre nasyid mudah diterima oleh masyarakat masakini.

Kini semuanya menjadi kenangan abadi buat kita. Ustaz Asri yang kita kenali dengan sifat lemah lembut, mudah tersenyum, mesra, ramah di sebalik wajahnya yang tegas itu telah meninggalkan kita buat selama-lamanya. Aku bernasib baik kerana semasa bekerja makan gaji dulu, aku berpeluang berurusan dengan Ustaz Asri dan anggota Rabbani yang lain. Seperti juga kumpulan nasyid lain yang memilik nama besar seperti Hijjaz dan Raihan, Ustaz Asri dan Rabbani tidak sedikitpun mempamerkan sifat bangga diri, riak atau ego dalam urusan walaupun mereka popular dan terkenal. Mereka sentiasa merendah diri dan segala urusan dilaksanakan tanpa memberi sebarang masalah kepada aku. Malah mereka tidak 'demanding' dan meminta perkara yang bukan-bukan. Itulah Ustaz Asri dan Rabbani.

Aku akan tetap kenang Allahyarham walaupun pertemuan aku dengannya adalah singkat. Namun yang pasti pemergian beliau dijemput Illahi adalah untuk selama-lamanya. Lagu beliau 'Pergi Tak Kembali' menceritakan segala-galanya. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama para solihin, syuhada dan mereka yang beriman. Amin, Amin Ya Rabbulalamin...Al Fatihah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan