Isnin, 10 Ogos 2009

MENGAMBIL ATAU MENCURI.....

BILA terbaca cerita akhbar online Harian Metro pagi tadi terpanggil untuk aku bercakap tentang satu peristiwa yang bunyinya macam kelakar tapi natijahnya besar. Kejadian ini yang berlaku semalam, 9 Ogos 2009 di Marang, Terengganu melibatkan sebuah lori dan orang kampung di kawasan berkenaan. Tidak, ia bukanlah berita kemalangan yang menimpa orang kampung dengan lori itu. Tetapi ia melibatkan pemandu, kelindan dan lori yang membawa beras tiba-tiba tak dapat dikawal dan terbalik di suatu kawasan di Marang.

Perkara yang 'mencuitkan' hati ialah apabila lori yang ditugaskan membawa bekalan beras itu terbalik dan hampir 800 kampit beras bertaburan di atas jalan di kampung tersebut. Orang kampung yang sedar akan kejadian itu telah segera keluar ke tempat ianya berlaku. Sayangnya mereka bukan hendak menolong pemandu dan kelindan yang kemalangan, sebaliknya mereka telah berebut-berebut 'mengambil' berkampit-kampit beras yang bertaburan di atas jalan. Apabila ditanya pemberita, ada orang kampung yang menjawab, 'ini rezeki, kalau kita tak ambil orang lain akan ambil' dan ada tanpa segan sila pula memberitahu beras ini akan meringankan perbelanjaan mereka pada bulan Ramadan yang akan datang!'. Inilah jawapan yang datangnya daripada orang Melayu beragama Islam di kampung berkenaan.

Bagi aku, mungkin orang-orang yang 'mengambil' beras yang kata mereka 'rezeki' itu tidak faham konsep rezeki atau tidak mahu memahaminya dengan sengaja. Marang yang setahu aku ialah sebuah kawasan yang terkenal dengan aktiviti ceramah agama di setiap hari Jumaat. Aku diberitahu pada hari tersebut di kawasan Rusila, Marang sesakan-akan pesta kerana orang dari sekitar Terengganu dan juga tempat-tempat lain akan berkunjung untuk mendengar ceramah agama oleh ulamak dan pemimpin sebuah parti politik tanah air serta mengerjakan solat Jumaat di situ. Aku rasa mungkin orang yang 'mengambil' lebih 200 kampit beras itu adalah golongan mereka yang tidak pernah menghadiri ceramah-ceramah agama yang dimaksudkan.

Teringat aku akan satu kejadian tahun lalu ketika aku dan keluarga berada di Brisbane, Australia dengan seorang rakan dari Singapura. Kami dalam perjalanan dari tempat tinggal untuk ke Gold Coast menaiki kenderaan yang dipandu oleh rakan Singapura kami tadi. Dalam perjalanan kami telah singgah di sebuah stesen minyak untuk membeli minum dan makan ringan. Dalam keghairahan kami hendak ke Gold Coast, rakan kami tertinggal dompet wangnya yang diletak di atas bumbung kenderaan semasa handak memasukkan barang-barang yang dibeli tadi. Apabila kenderaan bergerak dompet itu telah tercampak entah ke mana. Apabila separuh perjalanan, barulah dia teringat tentang dompetnya dan terpaksa berpatah-balik untuk mencari dompet yang hilang itu. Belum sempat sampai ke stesen minyak kami berhenti tadi, rakan kami telah mendapat panggilan daripada polis tempatan dan memintanya ke balai untuk mendapatkan semula dompetnya yang dijumpai oleh sepasang warga emas. Rakan kami berasa amat bersyukur kerana dalam dompetnya mengandungi kad pengenalan, kad atm, kad kredit, kad pelajar, wang dan beberapa lagi item peribadi yang penting. Setelah mendapatkan dompetnya, kami meneruskan semula perjalanan ke Gold Coast dengan perasaan yang 'lebih' gembira!

Dalam kedua-dua kejadian itu terdapat satu elemen penting yang dituntut oleh agama Islam terhadap umatnya iaitu setiap umat hendaklah mengamalkan sikap 'amanah'. Dalam kejadian pertama yang berlaku di sebuah negara Islam dan melibatkan penduduk Islam, elemen amanah tidak wujud. Di mana dalam kejadian kedua pula yang berlaku di negara bukan Islam dan melibatkan orang bukan Islam, sikap amanahnya terserlah dan telah dipraktikkan dengan bersungguh-sungguh. Nampaknya mereka lebih faham apa yang 'hak' mereka dan apa yang bukan 'hak' mereka. Orang yang bukan Islam di Brisbane yang kami tidak kenali ini telah berbuat baik kerana ia juga dituntut oleh agama mereka. Bezanya ialah dia praktik apa yang disuruh oleh agamanya, sementara penduduk di sebuah kampung di Marang dalam kejadian ini tidak praktik apa yang disuruh oleh Islam.

Aku harap kejadian 'pesta beras'(seperti yang dilaporkan oleh akhbar Harian Metro) tidak mewakili sikap majoriti orang Islam negara ini. Dalam senario ideal sebuah negara Islam yang penduduknya mempraktikkan Islam, apabila berlaku kejadian seperti itu penduduk sekeliling akan beramai-ramai membantu pemandu dan kelindan lori untuk memindah ratusan kampit beras ke tempat yang selamat agar mereka tidak menanggung kerugian yang besar. Pemandu dan kelindan lori pula dipastikan berada dalam keadaan selamat. Sayang seribu kali sayang, perkara yang 'ideal' ini tidak berlaku. Apa yang berlaku ialah kejadian pecah amanah dan tidak bertanggungjawab. Malah yang paling mengaibkan sekali ialah apabila barang curian yang 'haram' akibat perbuatan yang tidak dihalal dan dicegah oleh agama telah dianggap 'rezeki' dari Allah swt. Sekarang aku lebih faham apa yang difahamkan oleh sahabat aku di England dulu yang pernah komen tentang kebaikan orang-orang Inggeris yang tidak kedekut memberi jalan apabila kita meminta untuk memasuki jalan yang sibuk dan mereka juga tidak akan potong cue, malah lebih sabar menunggu giliran masing-masing. Kata sahabat aku Yasmin dari India, isteri kepada Mohamad dari Iraq, "we(Muslim) embraced Islam, they(orang Kristian) practised it!" Jawapan aku, "how apt!"
(gambar hiasan diambil hari Harian Metro, 10 Ogos 2009)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan