Sabtu, 1 Ogos 2009

CORY AQUINO MENINGGAL DUNIA.....

HARI INI, 1 Ogos 2009, Corazon Aquino, bekas Presiden Filipina telah meninggal dunia setelah menderita sakit kanser usus sejak Februari tahun lalu. Wanita waja ini yang lebih dikenali dengan panggilan Cory oleh rakyatnya meninggal di Manila ketika berusia 76 tahun.

Rakyat Filipina mengenali Cory lebih dekat setelah suaminya, Benigno "Ninoy" Aquino Jr telah dibunuh kejam pada 21 Ogos 1983, di lapangan terbang antarabangsa Manila sebaik saja turun dari pesawat kapalterbang setelah tiba dari negara buangannya, Amerika Syarikat. Ninoy yang berada di negara Uncle Sam sejak 1980 setelah melarikan diri dari ditangkap oleh kerajaan diktator Presiden Ferdinand Marcos ketika itu, telah kembali ke Filipina untuk memimpin pakatan pembangkang menentang kezaliman Marcos yang memerintah negara tersebut sejak 1965 lagi.

Sebelum suaminya dibunuh, Cory hanyalah seorang suri rumah yang memberi tumpuan penuh menguruskan keluarga serta membesarkan lima orang anak mereka. Ninoy pula yang berada di Harvard University ketika itu meluangkan sepenuh masanya berbincang dan merancang masa depan negara kelahirannya bersama-sama cendiakawan, ahli akademik, wartawan, pelawat dan sahabat-sahabatnya dari Filipina yang senasib dan bersimpati dengannya. Cory ketika itu tidak pernah terlintas untuk menjadi pemimpin sebuah negara gagasan lebih 7,000 pulau dan mempunyai penganut agama Katholik yang terbesar di Asia.

Tiga hari selepas Ninoy dibunuh, Cory kembali ke Manila bersama anak-anaknya dan seminggu selepas itu beliau telah mengetuai perarakan sempena pengkebumian suaminya yang dianggap terbesar pernah diadakan di Manila, di mana lebih dua juta rakyat Filipina menyertainya. Wanita yang terjerumus ke kancah politik secara 'tidak sengaja' itu telah dipujuk mengetuai pakatan pembangkang. Berbekalkan semangat Ninoy serta sokongan rakyat Filipina yang menyertai pergerakan People Power, Cory akhirnya berjaya menumpaskan kerajaan tentera pimpinan Marcos pada tahun 1986. Kini giliran Marcos dan keluarganya pula terpaksa hidup dalam negara buangan di Hawaii. Marcos meninggal dunia di Hawaii pada 1989.

Sebagai Presiden Filipina, Cory menghadapi pelbagai kesukaran untuk mentadbir sebuah negara yang kaya dengan hasil sumber asli tetapi telah diurus dengan buruk dan korup sejak puluhan tahun lagi. Akhirnya setelah enam sebagai Presiden dan bergelut dengan 'budaya macho' Filipina, Cory melepaskan jawatan tersebut dengan rela hati. Sebelum mengundur diri beliau pernah berkata, People used to compare me to the ideal president, but he doesn't exist and never exist. He has never lived. Mungkin ungkapan ini dituju kepada Ninoy, suaminya yang tersayang?

Cory pada usia 76 tahun masih merupakan pejuang sejati yang menentang penyelewengan dan ketidakadilan yang berlaku di tanah kelahirannya. Sehingga tahun lepas, beliau telah mengadakan demonstrasi rakyat menentang Presiden Gloria Macapagal-Arroyo yang dianggapnya tidak cekap dan merosakkan negara Filipina. Sebagai wanita yang berhati cekal, sumbangan Cory akan terpahat dalam lipatan sejarah Filipina sebagai seorang pemimpin agung. Walaupun mempunyai rupa paras yang lembut dan bersopan-santun, revolusi anti keganasan People Power Cory Aquino telah memberi inspirasi kepada banyak negara di seluruh dunia termasuklah usaha yang menamatkan pemerintahan komunis di Eropah Timur. Itulah Cory Aquino yang tiada duanya bagi rakyat Filipina......

1 ulasan: