Jumaat, 31 Julai 2009

CEPAT KAYA, CEPAT PAPA....


KERAP juga aku dengar cerita kawan-kawan yang hangus wang ringgit akibat ditipu dek skim cepat kaya. Aku juga salah seorang yang kantoi dalam skim ini dua tahun lepas apabila Bank Negara Malaysia 'jammed'kan website SwissCash. Pelaburan RM8 ribu yang konon-kononya boleh mendatangkan pulangan lumayan hangus begitu saja tanpa khabar berita. Bukan itu saja, penaja aku(sepasang suami-isteri yang kerja di Petronas) hilang lesap. Batang hidung pun tak nampak. Panggilan telefon dan sms jangan cakaplah, haram tak berjawab.

Yang aku nak cakap dalam posting ini ialah kenapa boleh jadi sedemikian? Kenapa masih ramai yang berani melabur dalam skim putar alam ni walaupun kerajaan dah berulang-kali memberi amaran kepada rakyat. Aku sendiri pun bukan baru ni kena tipu dalam skim cepat kaya. Sejak 1980an lagi aku tertipu dalam skim labu peram, pakman telo, tingkon(beroperasi di kawasan Teluk Intan dan kawasan sekitarnya) dan macam-macam lagi. Keseluruhannya wang aku hampir RM15 ribu dah terbakar hangus. Bila aku kenangkan kembali diri aku yang terhegeh-hegeh nak melabur dalam skim yang meragukan ini, ternyata antara aku dengan orang lain yang tertipu miliki beberapa persamaan. Salah satu daripadanya ialah ingin buat duit dengan mudah dengan melabur dalam skim yang berisiko tinggi. Bila risiko tinggi, pulangannya juga pasti tinggi.

Melalui skim seperti ini juga, aku tak payah fikir aktiviti bisnis yang hendak dibuat. Malah tak payah fikir business strategy yang hebat-hebat untuk menjayakan sebarang bisnis. Labur saja duit dan goyang kaki. Cukup masa fulus akan masuk ke dalam akaun masing-masing. Amboi, mudah sungguh cari duit cara ini. Siapa yang tak nak, kan?

Satu lagi sebab aku ceburi dalam 'perniagaan' seperti ini ialah kerana aku seorang yang malas! Ya, hanya orang malas saja yang nak buat bisnis cara mudah. Orang malas tak suka berfikir panjang termasuklah keputusan nak melabur wang dalam mana-mana skim. Oleh kerana malas nak fikir panjang maka fulus yang ada sedikit sebanyak akan hilang dibaham oleh golongan musibat dalam skim yang meragukan ini. Di samping itu juga ada golongan yang hendak mencari alternative income terutamanya mereka yang mempunyai pendapatan tetap. Banyak lagi sebab mengapa masih ramai yang menyertai skim cepat kaya walaupun tahu risikonya lebih besar daripada kebarangkalian membuat keuntungan.

Sesetengah daripada pelabur meletakkan diri mereka dalam keadaan yang amat merbahaya dengan meminjam sejumlah wang daripada peminjam wang haram seperti 'along' semata-mata hendak melabur dalam skim cepat kaya. Apabila skim ini 'bungkus' mereka bukan sahaja kerugian wang pelaburan, malah menjadi buruan kaki-kaki pukul 'along' yang menuntut semula bayaran balik pinjaman yang dah beranak berlipat ganda. Oleh itu, marilah kita ramai-ramai beringat sebelum terkena. Jangan termakan dengan pujuk rayu dan cerita 'kejayaan' pelabur-pelabur sebelumnya. Kadang-kadang pelbagai jenis salinan cek pembayaran yang diterima oleh agen skim ini yang berjumlah puluhan dan ratusan ribu ringgit akan ditunjukkan bagi menambah keyakinan bakal pelabur. Apabila agen ini dapat memahat gambar wang ribuan ringgit dalam minda kita, sudah pasti usaha hendak menyakinkan kita menjadi pelabur sudah hampir berjaya. Jika dilihat logik alam, tidak ada pelaburan yang halal boleh memberi pulangan yang begitu besar sehingga 100 peratus dalam masa yang singkat. Jika anda menerima tawaran melabur yang meragukan, semak dengan pihak-pihak berwajib terlebih dulu. Tetapi yang lebih afdal kita hendaklah menahan nafsu daripada melihat hanya kepada keuntungan semata-mata. Sekali-sekala elok juga fikirkan tentang kerugian yang terpaksa ditanggung sekiranya pelaburan ini gagal. Sekiranya kita merasa ragu-ragu dengan sesuatu tawaran itu, switch off telinga dan 'butakan' mata daripada mendengar kisah-kisah kejayaan serta gambar-gambar kereta mewah yang kononnya diperelohi hasil daripada sesuatu pelaburan itu. Allah dah beri akal, jadi gunalah akal itu untuk elakkan diri daripada tertipu......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan