Isnin, 27 Julai 2009

SELAMAT TINGGAL YASMIN......








SABTU lalu, 25 Julai 2009, jam 11.25 malam, Yasmin Ahmad telah dijemput mangadap Illahi. Pengarah filem yang terkenal dengan siri iklan Petronas untuk pelbagai sambutan perayaan di negara ini telah menghembus nafasnya yang terakhir ketika berusia 51 tahun setelah 'koma' sejak dimasukkan ke Damansara Specialists Hospital sejak Khamis, 23 Julai 2009. Beliau telah diserang 'stroke' dengan tiba-tiba ketika mengadakan sesi presentation di ibu pejabat TV3, Sri Pentas.

Bagi aku, pemergian Yasmin bermakna sebutir lagi bintang yang bergemerlapan dunia perfileman dan periklanan negara telah terpadam. Yasmin telah meninggalkan legasi yang mungkin tidak dapat diganti, sama juga seperti perginya Allahyarham P.Ramlee pada tahun 1970an dulu.

Yasmin adalah Yasmin. Karya filem yang ditinggalkannya seperti Sepet, Gubra, Rabun, Muhsin dan terbaru Muallaf(belum ditayang di Malaysia) adalah karya yang besar dan diiktiraf karyawan seni filem antarabangsa. Beberapa anugerah yang dimenangi beliau di Malaysia dan peringkat antarabangsa adalah bukti bahawa Yasmin seorang karyawan yang hebat walaupun penuh kontroversi. Aku jatuh cinta dengan hasil karya Yasmin ketika menonton iklan-iklan Hari Raya Petronas saban tahun. Iklan sambutan Hari Kemerdekaan negara tidak pernah gagal membangkitkan semangat patriotisma dalam jiwa aku yang kaki berontak ini. Aku tak kan lupa dengan 'cerita-cerita' dalam iklan-iklan tersebut yang selalunya menyentuh kehidupan rakyat berbilang kaum negara ini. Iklan sambutan tahun Baru Cina dan Deepavali mengingatkan kepada kawan-kawan Cina aku seperti Tham Kok Wah, Leong Weng Tuck, Nee Chin, Goh Bee Lee, Nagaya, Peragasam, Asokan, Nathan dan ramai lagi kawan sepermainan aku di kampung. Setiap pengalaman yang dipamerkan oleh Yasmin sedikit sebanyak pasti menyentuh liku-liku yang pernah dilalui oleh rakyat Malaysia.

Begitu juga apabila aku menonton filem hasil karya beliau yang tidak conventional. Walaupun ceritanya adalah biasa tetapi cara penceritaan Yasmin amat bersahaja, penuh detail dan berbeza dari kebiasaan. Orang yang menonton filem beliau selalunya dibawa masuk ke dalam ruang luas untuk menyelami pengalaman yang sedang dilalui oleh watak-watak yang dihidupkannya. Aku selalu tidak pernah merasa puas menonton filem Yasmin.

Kini semuanya jadi kenangan. Tak mungkin aku akan beriya-riya mahu menonton filem Melayu lagi. Tidak seperti keinginan aku mahu menonton Sepet, Gubra, Rabun dan Muhsin. Filem terakhir beliau Muallaf yang penuh kontroversi harap-harap dapat aku tontoni. Memang sukar buat Mak Inom dan Pak Atan sebagai ibu bapa Yasmin menerima ketentuan Allah swt ini. Yasmin adalah anugerah Allah swt kepada kedua-dua pasangan yang istimewa ini. Kasih sayang sejati yang terjalin dalam jiwa kedua-dua pasangan ini jelas terpancar pada anak mereka. Kisah cinta, kasih sayang, hormat menghormati, keberanian, kecekalan dan sebagainya adalah hasil didikan dan semaian Mak Inom dan Pak Atan ke dalam jiwa seorang insan kerdil yang berjiwa besar, Yasmin. Selamat beristirehat Yasmin. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan