Jumaat, 3 Julai 2009

MALAYSIA SYURGA PENGGEMIS......




BILA KITA perhatikan aktiviti menggemis di sekitar Kuala Lumpur atau kawasan sekitarnya tentu kita sedar terdapat satu tren yang bersamaan dalam aktiviti tersebut. Maksud aku aktiviti ini sekarang tidak lagi dilakukan oleh orang perseorangan atau individu seperti dulu. Kalau dulu orang yang menggemis adalah orang yang hidup melarat, mengidap penyakit mental ataupun hidup terbiar dan melarat, kini penggemis berpakaian lebih kemas serta mempunyai 'assistant'. Yang jenis ini selalunya adalah kaum wanita yang membawa seorang atau dua orang anak. Penggemis di KL ni boleh dilihat di tempat-tempat terdapat ramai orang seperti di kedai-kedai makan, di kawasan masjid pada hari Jumaat, di foodcourt atau di kaki lima kedai yang sibuk. KL ramai penggemis yang datang dari luar negara seperti Burma, China, Bangladesh, Vietnam dan lain-lain lagi.

Aku dah banyak terbaca tentang penggemis yang ditangkap bersama-sama wang tunai ribuan ringgit bersama mereka. Maknanya hasil yang dikumpul daripada aktiviti menggemis di Malaysia terutamanya di bandar-badar besar adalah lumayan! Daripada pemerhatian yang aku buat terhadap sekumpulan penggemis wanita yang diiringi beberapa orang 'anak-anaknya' pada hari Jumaat di kawasan masjid tempat aku tinggal, aku dapati modes operandi mereka amat licik sekali. Aku perhatikan mereka akan berada dekat kawasan masjid dua tiga jam sebelum solat Jumaat dan mula bergerak ke rumah-rumah berdekatan masjid terlebih dulu untuk 'warming up'. Di sekitar pukul 11 lebih, mereka bergerak untuk mengambil tempat di sepanjang jalan masuk ke kawasan masjid. Setelah selesai solat Jumaat, kumpulan ini berpecah menjadi dua iaitu satu kumpulan akan merapati para jemaah yang berjalan ke kenderaan masing-masing dan satu lagi kumpulan akan duduk bersila dekat pintu-pintu keluar dari kawasan masjid. Akitiviti ini akan berlangsung sehingga semua jemaah beredar. Selang beberapa ketika, mereka akan beredar ke tempat lain untuk dijemput oleh sebuah van yang sedia menanti.

Ada banyak lagi cara lain yang digunakan oleh penggemis untuk meraih simpati orang ramai yang aku percaya para pembaca pun sedia maklum. Kenapa penggemis terutamanya dari negara jiran sanggup menggemis di Malaysia. Daripada tinjauan yang aku buat di kalangan rakan-rakan, aku dapati orang Malaysia terutamanya orang Melayu begitu pemurah dan cepat simpati dengan nasib orang-orang yang menggemis. Faktor lain mungkin kerana ingin bersedekah untuk mendapatkan keredhaan Allah swt seperti yang digalakkan oleh agama Islam kita. Ia sebahagian daripada aktiviti amal jariah umat Islam yang dituntut agama kita. Persoalannya sekarang adakah yang menggemis itu betul-betul orang susah atau hanya satu sindiket besar yang didalangi oleh orang-orang tertentu dengan menggunakan kaum pendatang? Jawapannya sukar untuk kita cari kerana sehingga sekarang aku belum lagi terbaca berita tentang kejayaan pihak berkuasa dalam membenteraskan sindiket meminta sedekah di Malaysia. Penggemis yang ditangkap hanyalah mereka yang bergerak secara individu.

Pada pandangan aku, sindiket menggemis yang berleluasa ini boleh dibendung jika rakyat Malaysia mengambil langkah tegas untuk tidak melayan penggemis dengan memberi wang kepada mereka. Jika hendak cari pahala amal jariah, gunalah saluran yang sedia ada seperti bersedekah kepada anak-anak yatim, masjid, fakir misikin yang dikenalpasti dan sebagainya. Walaupun kita hanya memberi seringgit sahaja wang kita, namun jika 100 orang memberi seringgit, si penggemis akan dapat kumpul 100 ringgit dalam sehari. Oleh kerana begitu mudah mereka mendapat wang yang banyak tanpa berusaha membanting tulang maka mereka memilih untuk terus menggemis walaupun agama Islam menegah sama sekali perbuatan tersebut. Sama-samalah kita beruasaha agar negara kita tidak menjadi syurga buat si penggemis.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan