Selasa, 7 Julai 2009

NAK UCAP TERIMA KASIH PUN SUSAH.....


BILA KITA menonton iklan bertemakan sopan santun dan budi bahasa yang diusahakan oleh suatu kementerian di kaca tv tentu terfikir kita kenapa ia perlu diadakan. Bukankah umum mengetahui rakyat Malaysia rata-ratanya bersopan-santun dan berbudi bahasa? Malah pelancong luar yang berkunjung ke Malaysia mengakui rakyat secara amnya berhemah tinggi dan peramah! Aku rasa elok juga kita buat sedikit penilaian tentang perkara ini. Kenapa kempen sopan-santun diadakan oleh kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini? Adakah aspek kesopanan dan budi bahasa rakyat jelata telah menurun dan kini berada di tahap yang membimbangkan? Pada pengamatan aku sendiri apa yang diusahakan kerajaan melalui kempen tv ini adalah untuk address suatu isu yang tidaklah terlalu major tapi kritikal dalam pembentukan jati diri dan nilai murni rakyat yang ideal. Aspek ini salah satu komponen yang aku rasa penting dalam usaha kerajaan melahirkan rakyat yang mampu menghayati konsep 1Malaysia yang sedang dihebahkan sekarang ini.

Aku lihat Malaysia mempunyai satu perjalanan yang masih jauh untuk mencapai apa yang dihajati iaitu menjadikan konsep 1Malaysia satu realiti walaupun ia bukanlah sesuatu yang mustahil dicapai. Bila aku lihat aspek sopan-santun dan berbudi bahasa sahaja, aku rasa majoriti rakyat Malaysia belum lagi mampu sebatikannya menjadi amalan hidup mereka. Kita ambil satu perbuatan mudah yang boleh diamalkan oleh sesiapa saja walaupun seorang kanak-kanak kecil iaitu amalan mengucapkan terima kasih. Berapa kali dalam sehari kita diucapkan terima kasih di atas pertolongan atau bantuan yang dihulurkan. Adakah kita mendapat ucapan terima kasih kerana membelanjakan wang di kedai, restoran, pasar, supermarket atau di mana-mana saja yang melibatkan transaksi berjual-beli? Dari pengalaman aku sendiri, terus terang aku katakan aku jarang-jarang mendapat ucapan terima kasih walaupun setelah berbelanja wang untuk pembelian sesuatu barangan atau perkhidmatan.

Aku pernah menjalani hidup beberapa ketika di England dan Australia di kalangan mat saleh tidak lama dulu. Di kedua-dua negara ini aku dapati rakyatnya menjadikan ucapan terima kasih sebagai amalan biasa mereka. Mat saleh di negara maju ini lebih mudah dan bersedia untuk ucapkan terima kasih kepada kita untuk apa saja yang kita lakukan. Kekadang walaupun mereka yang menghulur bantuan kepada kita, mereka masih mengucapkan terima kasih kepada kita. Pendek kata, ungkapan terima kasih itu seolah-olah sudah melekat di bibir mereka. Sayangnya apa yang berlaku di negara kita yang Truly Asian yang sememangnya terkenal dengan sopan-santu dan budi bahasa yang tinggi adalah sebaliknya! Itulah sebabnya(agaknya) kerajaan terpaksa berbelanja jutaan ringgit untuk memastikan rakyat negara ini lebih bersopan-santun dan berbudi bahasa.

Amalan baik seperti ini aku percaya boleh kita mulakan di kalangan anggota keluarga di rumah terlebih dulu. Anak-anak perlu dilatih mengucapkan terima kasih dan fahamkan mereka kenapa ucapan terima kasih itu perlu dalam hidup kita. Jika amalan yang sekecil ini pun masih sukar kita amalkan, apakah mampu kita laksanakan impian kerajaan untuk mewujudkan rakyat yang menghayati konsep 1Malaysia? Mengucapkan terima kasih hanyalah satu pepohon kecil di dalam sebuah rimba belantara yang luas terbentang. Terpulanglah kepada setiap rakyat negara ini untuk memainkan peranan masing-masing dalam melahirkan rakyat yang bersopan-santun dan berbudi bahasa. Sekurang-kurangnya kerajaan boleh menjimatkan jutaan ringgit daripada mengadakan kempen menyemai nilai murni yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada amalan hidup kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan